
Pengaplikasian Teknologi Internet Dalam Pendidikan
Satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini ialah berlakunya ledakan teknologi maklumat. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer yang dihubungkan dengan jaringan internet telah membolehkan banyak maklumat diperolehi dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melihat ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, melahirkan hubungan yang lebih kuat di antara sekolah-sekolah dan masyarakat serta meningkatkan penguasaan pelajar. Konsep ICT dalam pendidikan dari kaca mata KPM merangkumi tiga polisi utama :
- ICT untuk semua pelajar, bermaksud bahawa ICT digunakan sebagai sesuatu yang boleh mengurangkan jurang digital antara sekolah.
- Fungsi dan peranan ICT di dalam pendidikan adalah sebagai suatu alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai sebahagian daripada subjek tersebut, dan sebagai sesuatu subjek tersendiri.
- Menggunakan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sesuatu sistem pengurusan.
Aplikasi Internet Dalam Bidang Pendidikan
Internet dapat diaplikasikan dalam pendidikan melalui aktiviti-aktiviti sama ada dalam tugasan harian atau yang melibatkan proses P&P. Menurut Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan Malaysia (MTMK) melaporkan terdapat 10 juta pengguna internet dijangkakan pada tahun 2003. Terdapat pertambahan empat kali ganda atau pertambahan 400 peratus daripada 1.6 juta pada tahun 1998 kepada 6.5 juta pada tahun 2001. Ini menunjukkan penggunaan internet diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dalam pendidikan di Malaysia.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar melalui e-mail ialah:
- Berkongsi menjalankan sesuatu projek dengan pelajar-pelajar sekolah lain
- Berbincang dengan rakan dari kalangan berbagai budaya dan latar belakang negara mengenai berbagai isu semasa
- Menggalakkan perkembangan bahasa terutama bahasa inggeris melalui komunikasi dengan rakan dari luar negara
- Memperolehi bahan dan teknik di dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran secara “on-line”
Antara kelebihan internet ialah:
- Pelajar boleh mencapai bahan pembelajaran pada bila- bila masa dan di mana jua mereka berada.
- Bahan sokongan pembelajaran boleh dirangkaikan daripada sumber tambahan yang terdapat di seluruh dunia.
- Pengurusan dan mengemaskini bahan pembelajaran menjadi semakin mudah dan pantas.
- Pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh disediakan bagi kegunaan pelajar dan pendidik.